Nuffnang

Saturday 15 August 2015

Pengeluaran kad pelarian: Polis diminta siasat pejabat UNHCR

ALOR SETAR: Polis diminta siasat pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) di Malaysia yang dikatakan mengeluarkan kad pelarian secara sesuka hati.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pejabat UNHCR telah melakukan kesalahan kerana mereka keluarkan kad pelarian tanpa memberitahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen hingga menyukarkan kawalan dan pemantauan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Mereka ini (UNHCR) macam ‘kerajaan dalam kerajaan’. Malaysia bukan antara negara yang menandatangani Konvensyen 1951 berkenaan Status Pelarian ataupun Protokol 1967.

“Pejabat UNHCR tiada status diplomatik dan mereka kena berhenti serta-merta daripada keluarkan kad pelarian.

“Saya minta polis masuk dan siasat bagaimana kad ini dikeluarkan begitu sahaja,” kata beliau.

Shahidan yang antara lain bertanggungjawab terhadap urusan Majlis Keselamatan Negara (MKN), juga mahu pendatang yang ditahan dihantar pulang ke negara asal masing-masing bagi mengelak kesesakan di kem-kem tahanan pada masa ini.

Beliau berkata terdapat rungutan orang ramai bahawa berlaku kebanjiran warga asing yang ketara sehingga menggugat keselamatan, ketenteraman dan peluang pekerjaan terhadap warga tempatan.

“Mana-mana warga asing yang mahu memohon status pelarian perlu mengikut saluran yang betul seperti yang ditetapkan undang-undang negara ini.

“Kerajaan tidak mahu mereka yang terlibat dengan jenayah di Myanmar sebagai contoh, datang ke Malaysia dan diberikan kad pelarian oleh UNHCR selepas melalui proses temuduga yang mudah,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Wanita UMNO Bahagian Alor Setar hari ini.

Shahidan berkata, dalam kes terbaharu, terdapat 150 keluarga pelarian dikesan menceroboh tanah di Rompin dan tindakan mereka itu telah dilaporkan kepada kerajaan negeri Pahang.

Beliau meminta Polis dan Jabatan Imigresen menganggap pemegang kad pelarian UNHCR sebagai PATI dan mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, statistik menunjukkan Malaysia kini dibanjiri oleh lebih 130,000 pelarian yang memiliki kad UNHCR, kebanyakannya warga Myanmar dan Bangladesh.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang