Nuffnang

Saturday 22 August 2015

Kutip 105 telur itik sehari


Bermula untuk mengisi masa lapang selain memanfaatkan tanah terbiar di kawasan rumah, perusahaan menternak itik telur yang dijalankan seorang pemuda membuahkan hasil lumayan.

Malah, telur itik yang dijadikan telur asin juga mendapat permintaan sehingga terpaksa membeli telur itik daripada penternak itik lain untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Mohd Zubir Mamat, 29, berkata, dia tidak menyangka perusahaan membela itik telur yang dijalankan bersama arwah bapanya, Mamat Salleh, 80, sejak Januari tahun lalu sebagai suka-suka, mampu memberi pulangan lumayan dan menjadi sumber pendapatan keluarga.


“Kami hanya ingin memanfaatkan tanah di belakang rumah yang terbiar, maklumlah tanah yang terbiar akan dihuni haiwan berbisa terutama ular.

“Saya dan arwah bapa membersihkan kawasan belakang rumah sebelum membina reban itik dengan harapan sisa makanan di rumah yang tidak habis turut boleh diberikan kepada ternakan itu,” katanya di rumahnya di Kampung Kuala Tengah, Marang, Terengganu.
Beliau berkata, peringkat permulaan dia membela 60 itik telur dan mengambil masa empat bulan bagi itik peliharaannya bertelur secara konsisten.

“Kami memperoleh 20 hingga 30 biji telur sehari dan dijadikan telur asin sebelum dipasarkan ke kedai runcit.

“Melihat hasil yang diperoleh agak lumayan, saya dan bapa mula menambah 110 itik dan hasil yang diperoleh di peringkat awal hanya 50 hingga 70 telur sehari,” katanya.

Menurutnya, kerana minat yang mendalam selain melihat peluang untuk maju dalam perusahaan itu, dia merujuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Marang untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan mengenai kaedah terbaik merangsang itik supaya lebih kerap bertelur.

“Itik memerlukan makanan lebih untuk kerap bertelur menyebabkan saya mula mengambil sisa makanan di kedai makan berhampiran rumah selain membeli beras hancur untuk dicampurkan dengan dedak.

“Majoriti itik yang sebelum ini hanya bertelur sekali sehari kini sebahagian besarnya bertelur dua kali sehari, malah ada yang bertelur sehingga tiga kali sehari kerana makanan yang diberikan mencukupi selain tiada tekanan,” katanya.

Mohd Zubir berkata, dia kini mampu memperoleh lebih 105 biji sehari dengan kos bulanan RM100 sebulan.

“Memang ada cabaran membela itik termasuk penyakit lumpuh sehingga membawa kepada kematian ternakan.

“Malah, harga dedak ternakan yang naik juga antara cabaran besar untuk meneruskan perusahaan itu kerana dulu harganya RM33 untuk 25 kilogram (kg), kini naik RM35,” katanya.

Mengenai perancangan masa depan, katanya, dia bercadang membuka ladang itik telur di kawasan tanah terbiar kira-kira 0.8 hektar yang jauh dari penempatan penduduk di kampung itu dalam masa terdekat.

“Saya bercadang membela 1,000 itik telur dan akan membina reban berserta pelbagai kemudahan lengkap.

“Buat masa ini, masih dalam peringkat untuk memohon pinjaman dan bantuan untuk mengumpul modal yang dianggarkan RM30,000,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/71196#sthash.oP7qjNvc.dpuf

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang