Nuffnang

Friday 7 November 2014

Video buli, jangan mudah panik dan sebar - SKMM

PUTRAJAYA 7 Nov. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta orang ramai tidak mudah panik sekiranya terdapat klip video memaparkan gejala buli atau salah laku pelajar yang baru-baru ini menjadi viral di laman-laman sosial.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi berkata, sebaliknya mereka perlu segera melaporkan kewujudan klip-klip video seumpama itu kepada pihak polis serta SKMM bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat.

Pada masa sama, beliau berkata, orang ramai juga tidak seharusnya menyebarkan atau berkongsi dengan orang lain klip-klip video seperti itu kerana dikhuatiri paparan insiden buli tersebut sudah lama berlaku dan bukannya kejadian baharu.

“Sebab itu kita perlu laporkan kepada pihak polis dan SKMM kerana kita tidak tahu bilakah sebenarnya tarikh kejadian tersebut. Mungkin kejadian berkenaan sudah berlaku lima tahun lalu cuma videonya baru dimuat naik semalam.

“Kita tidak tahu apakah motifnya. Oleh itu, saya berharap orang ramai jangan mudah panik dan jangan mudah sebarkan klip-klip video seperti ini dengan cepat hingga menjadi viral. Sebaik-baiknya kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan kesahihannya,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan kepada rakyat Palestin di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini.

Beliau mengulas penyebaran satu klip video yang memaparkan sekumpulan pelajar lelaki terutama seorang remaja bersinglet hitam membelasah beberapa pelajar lain di dalam sebuah bilik asrama.

Walau bagaimanapun misteri rakaman video tersebut akhirnya terjawab apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengenal pasti kejadian buli itu yang berlaku di sebuah sekolah di Pontian, Johor pada 2010.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Asmawati Ahmad berkata, hasil siasatan mendapati, suspek utama yang terlibat dalam kejadian tersebut iaitu pelajar yang memakai singlet hitam telah pun dibuang sekolah.

Mohamed Sharil berkata, tidak dinafikan penyebaran klip-klip video seperti itu boleh mendatangkan kemarahan kepada orang ramai terutama golongan ibu bapa yang mempunyai anak-anak mereka di asrama.

“Seperti yang saya sebutkan tadi, kita perlu serahkan kes-kes seperti ini kepada pihak polis supaya satu siasatan dibuat. Ini kes pukul yang bidang kuasa siasatan hanya ada pada pihak polis.

“Walau bagaimanapun jika ada permintaan daripada pihak polis memandangkan kes ini dikesan melalui rakaman video di laman-laman sosial, kita sedia menghulurkan bantuan dengan segala kepakaran yang kita ada,'' katanya. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/video-buli-jangan-mudah-panik-dan-sebar-skmm-1.21887#sthash.Gp0Qvh7M.dpuf

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Nuffnang